Legenda bola sepak Malaysia, Datuk Zainal Abidin Hassan menyifatkan tonggak Harimau Malaya Faisal Halim sebagai individu yang berjiwa kental dan tidak mengenal erti putus asa.

Zainal berkata, meskipun tidak pernah melatih Faisal di padang tetapi mengenali pemain berusia 26 tahun itu

"Saya tak pernah latih dia, tetapi saya mengenali dia. Faisal seorang budak yang ceria, kelakar dan dia berjiwa kental dan tidak akan putus asa.

“Semua peminat sayang beliau kerana gelagatnya dan yang penting beliau seorang pemain yang baik," katanya.

Zainal ditemui selepas majlis bacaan yasin dan doa selamat buat Faisal Halim di Surau An Nur Astro di Bukit Jalil disini, hari ini.

Majlis berkenaan adalah anjuran Astro Radio membabitkan Era, Sinar, Gegar dan Zayan bertujuan mendoakan kesembuhan Faisal Halim.

Hampir 100 kakitangan Astro menyertai bacaan yasin diketuai oleh Abdul Halim Zakaria bermula pada jam 10.15 pagi.

Majlis itu turut disertai beberapa pemain dan bekas pemain bola sepak selain penyampai radio Era Nabil Ahmad, Radin dan Ray; penyampai Zayan, Mawi; dan penyampai Sinar, Jep Sepahtu.

Tambah Zainal, dia kecewa melihat kejadian demi kejadian yang menimpa pemain bola sepak di negara ini.

Dalam masa sama, Zainal turut menasihatkan pemain atau bekas pemain bola sepak agar sentiasa berhati-hati dan peka dengan keadaan sekeliling.

"Kepada pemain-pemain lain, saya nasihat agar berhati-hati. Jaga diri baik-baik kerana kita dapat lihat, benda benda macam ini kita tak nak rosakkan martabat bola sepak dan kesihatan jiwa para pemain.

"Bagi saya keselamatan amat penting, terutama mereka masih di dalam satu pasukan kerana liga nak mula, jadi buat masa ini mereka cuma berlatih dan pulang.

"Di dalam perjalan ini saya harap persatuan-persatuan dapat memberi sedikit keselamatan kepada semua pemain mereka. Pemain juga perlu berhati-hati, kalau boleh tu duduk rumah dulu, sampai keadaan reda atau sampai pihak PDRM selesai jalankan siasatan berhubung kes ini," katanya.